Sulam Nama pada Kulit

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah ustaz beri ulasan terhadap trend “sulam nama” di kulit, adakah ia dibolehkan dan tidak menyerupai tatu yang diharamkan kerana dikatakan ia hanya kekal selama 1-2 tahun dan ada juga yang mengatakan ia hanya kekal sekitar 3 bulan sahaja? Apatah lagi, trend ini mula menjadi popular dalam kalangan remaja dan anak muda Islam, kononnya merupakan antara perkhidmatan kecantikan yang ‘cool’ untuk didapatkan. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami juga meneliti berita berkenaan trend “sulam nama” tersebut melalui portal-portal berita. Kami mendapati teknik dan prosedurnya tidak ubah seperti mencacah tatu pada kulit. Apa yang membezakannya hanyalah ia bersifat sementara dan dicacah cukup dalam untuk bersifat kekal. Dikatakan ia hanya akan kekal sekitar 3 bulan hingga setahun.

Oleh kerana ia berkait rapat dengan tatu, maka kami bawakan di sini terlebih dahulu perbahasan mengenainya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tatu ialah tanda pada badan yang dibuat dengan melarik dan mencucuk dan memasukkan warna, cacah. 

Manakala Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan, tatu adalah lukisan atau tanda kekal di atas kulit yang dibuat dengan menggunakan dakwat pigmen atau pewarna yang dimasukkan ke kulit melalui tusukan jarum ke lapisan dermis (lapisan kedua kulit). Dakwat dimasukkan ke dalam lapisan dermis kerana sel kulit di bahagian ini adalah stabil, oleh itu tatu akan menjadi kekal. Selain itu, tatu boleh dilakukan secara manual (menggunakan tangan) atau dengan menggunakan peralatan elektrik yang menggunakan sistem tiub dan jarum. Biasanya dengan menggunakan peralatan elektrik ini, jarum akan mencucuk kulit lebih kurang 3 mm dalam dan dakwat yang disimpan dalam tiub tersebut akan dimasukkan ke dalam lubang tusukan jarum tersebut. Biasanya, proses pembuatan tatu ini tidak menggunakan bius, oleh itu orang yang sedang ditatu mungkin akan berasa sakit semasa prosedur itu dijalankan. Begitu juga berkemungkinan akan berlaku pendarahan kecil di kawasan tusukan jarum tersebut.

Selain daripada itu, membuat tatu juga mempunyai risiko kesihatan. Di antaranya: 

  • Jangkitan kuman: Memandangkan proses membuat tatu melibatkan kelukaan pada kulit, maka ia boleh menyebabkan jangkitan setempat pada luka tersebut. Gejala yang biasa berlaku adalah bengkak, sakit dan bernanah di kawasan tersebut. 
  • Reaksi alahan: Alahan biasa berlaku di kawasan tatu terutamanya jika tatu tersebut menggunakan pewarna merah. Gejala yang mungkin berlaku adalah ruam gatal dan bengkak merah.

Walau bagaimanapun gejala yang lebih teruk mungkin berlaku seperti sukar bernafas, pengsan, bengkak mata dan sebagainya.

  • Pembentukan “granuloma” iaitu terdapat pembengkakan kronik berlaku pada kawasan yang telah mengalami jangkitan kuman.
  • Pembentukan keloid iaitu keadaan di mana parut tebal timbul di kawasan tusukan jarum tatu.
  • Jangkitan kuman bawaan darah: 

Sekiranya peralatan yang digunakan untuk membuat tatu itu dicemari oleh darah yang telah dijangkiti virus Hepatitis C, Hepatitis B dan HIV, maka anda juga berisiko untuk mendapat jangkitan tersebut. Anda juga berisiko untuk mendapat jangkitan tetanus (kancing gigi) dari peralatan yang tercemar.  

Seterusnya, kita hendaklah mengetahui bahawa termasuk dalam perkara yang diharamkan adalah membuat tatu pada badan. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, tatu akan mencacatkan muka dan kedua tangannya (yakni tubuh badannya) dengan warna-warna seperti biru dan lukisan-lukisan yang hodoh. Sebahagian masyarakat Arab terutamanya wanita meminta dibuatkan tatu pada sebahagian besar badan mereka. Begitu juga sebahagian penganut agama tertentu meminta dibuatkan tatu pada badan mereka yang melambangkan sembahan dan syiar agama mereka sebagaimana penganut agama nasrani membuat tatu lambang salib pada tangan dan dada mereka.

Tambahan lagi, membuat tatu adalah proses yang menyakitkan apabila dicucuk jarum pada bahagian tubuh yang mahu ditatu. Semua perkara tersebut mengundang laknat kepada sesiapa yang membuat tatu dan sesiapa yang meminta supaya dibuatkan tatu pada badannya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 86). 

Malah, pengarang al-Fiqh al-Manhaji menukilkan daripada pendapat para fuqaha yang menyebutkan bahawa tempat yang ditatu adalah najis, disebabkan darah beku yang tersekat di situ. Ia wajib dihilangkan sekiranya boleh dengan rawatan. Sebaliknya, jika tidak boleh kecuali dengan pembedahan, dia tidak wajib menghilangkannya sekiranya dibimbangi berlaku kemudharatan atau kecacatan yang teruk pada anggota zahir, seperti muka, dua tapak tangan dan lain-lain. Dalam hal ini, memadailah bertaubat daripada segala dosa dan perbuatannnya itu. Namun, jika tiada kebimbangan tersebut, dia wajib menghilangkannya dan berdosa melengah-lengahkannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/102).

Begitu juga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil 1/2017-1438H yang bersidang pada 15 Februari 2017 bersamaan 18 Jamadil Awwal 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-86 berkenaan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam dengan pindaan sighah seperti berikut:

  1. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram.
  2. Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada kerana tempat yang ditatu itu adalah najis jika tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.
  3. Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudaratan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat tersebut.
  4. Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, setelah kami melihat kepada proses dan prosedur “sulam nama” pada kulit, kami mendapati ia sebenarnya mirip atau sama dengan prosedur membuat tatu, dan pengharaman membuat tatu jelas sebagaimana dalam hadith di atas. Lebih-lebih lagi, prosedur “sulam nama” pada kulit bukan bertujuan untuk rawatan tetapi sebaliknya untuk kecantikan semata-mata, yang mana pada hakikatnya ia adalah mencacatan kulit dan kawasan yang dicacah.

Manakala bagi menjawab persoalan berkenaan tempohnya yang tidak kekal sebagaimana tatu, Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya. 

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari. 

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  • Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  • Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  • Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan. 

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Kesimpulannya

Justeru, berbalik kepada persoalan yang diajukan, setelah kami melihat kepada proses dan prosedur “sulam nama” pada kulit, kami mendapati ia sebenarnya mirip atau sama dengan prosedur membuat tatu. Lebih-lebih lagi, prosedur “sulam nama” pada kulit bukan bertujuan untuk rawatan tetapi sebaliknya untuk kecantikan semata-mata, yang mana pada hakikatnya ia adalah mencacatan kulit dan kawasan yang dicacah. Sehinggakan sebahagian ulama ada berpendapat bahawa tempat atau kawasan yang dicacah (untuk dibuat tatu atau disulam nama) sebagai najis. 

Begitu juga “sulam nama” pada kulit itu dikira bersifat kekal kerana ia tidak dapat segera dihilangkan atau ditanggalkan serta merta sebaliknya memerlukan kepada suatu tempoh yang lama untuk hilang. Hal ini kerana  yang dimaksudkan sebagai ‘kekal’ adalah kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Selain itu, perbuatan mencacah untuk membuat tatu atau sulam nama pada kulit terdedah kepada risiko jangkitan dan memudaratkan pelakunya. 

Di samping itu juga, perbuatan mencacah nama atau membuat tatu ini juga menyerupai perbuatan orang kafir, sedangkan agama Islam menuntut penganutnya agar berbeza dengan mereka. Perkara ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.

Riwayat Abu Daud (4031)

Al-San‘ani menjelaskan, maknanya ialah sesiapa yang menyerupai atau meniru orang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah, maka dia termasuk dalam kalangan mereka — yakni sama seperti mereka. Dalam erti kata lain, dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka. (Lihat Subul al-Salam, 4/175).

Maka atas dasar tersebut, kami berpendapat prosedur atau perbuatan “sulam nama” pada kulit adalah haram dilarang dalam syarak sebagaimana tatu. Pelakunya pula hendaklah segera bertaubat dan menyesali perbuatannya itu. Begitu juga sulaman nama yang telah dilakukan pada kulit hendaklah segera dihilangkan, jika ia tidak mendatangkan kemudaratan pada diri dan nyawanya. Sekiranya proses menghilangkannya itu mendatangkan kemudaratan,  maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan.

Pada kesempatan ini, kami turut menasihatkan kepada remaja dan anak muda Islam agar bijak dalam mengikuti trend yang ingin diikuti. Jauhilah trend yang jelas-jelas bercanggah dengan cara dan gaya hidup seorang Muslim. Ingatlah sebagai seorang Muslim, kita turut diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Maka, sebelum melakukan sesuatu atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama. Hal ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *