Prosedur Stent Angioplasti bagi Orang yang Berpuasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum seseorang pesakit yang berpuasa menjalani prosedur stent angioplasti pada siang Ramadhan? Mohon pencerahan. Terima kasih. 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Prosedur Stent Angioplasti

Angioplasti adalah prosedur untuk membuka saluran darah yang sempit atau tersumbat yang membekalkan darah ke jantung. Salur darah ini dipanggil arteri koronari.

Stent arteri koronari ialah tiub mesh logam kecil yang mengembang di dalam arteri koronari. Stent selalunya diletakkan semasa atau sejurus selepas angioplasti. Ia membantu menghalang arteri daripada tertutup semula. Drug-eluting stent ini mempunyai ubat yang diletak di dalamnya yang membantu menghalang arteri daripada tertutup untuk jangka masa panjang.

Sebelum prosedur angioplasti, pesakit diberi ubat sakit tahan sakit. Pesakit juga mungkin diberi ubat untuk menenangkan pesakit, dan ubat untuk mengelakkan pembekuan darah daripada berlaku (blood thinners).

Pesakit kemudian akan berada di posisi berbaring. Doktor kemudian akan memasukkan tiub fleksibel (kateter) ke dalam arteri. Kadangkala kateter akan dimasukkan di lengan atau pergelangan tangan, atau di kawasan kaki atas (pangkal paha). Pesakit akan berada dalam keadaan jaga sepanjang prosedur dijalankan.

Doktor akan menggunakan gambar imbasan x-ray secara langsung untuk membimbing kateter dengan berhati-hati ke dalam jantung dan arteri pesakit. Kontras cecair (kadangkala dipanggil “pewarna”) akan disuntik ke dalam badan anda untuk menampakkan aliran darah melalui arteri. Ini membantu doktor melihat sebarang saluran yang tersumbat di dalam saluran darah yang menuju kepada jantung pesakit.

Wayar pemandu dialihkan ke dalam dan melintasi tempat yang tersumbat. Kateter belon ditolak ke atas wayar panduan dan ke dalam tempat yang tersumbat. Belon di hujungnya ditiup (dan akan kembung). Ini membuka saluran yang tersumbat dan memulihkan aliran darah yang betul ke jantung pesakit.

Tiub jaring dawai (stent) kemudiannya boleh diletakkan di kawasan tersumbat ini. Stent dimasukkan bersama kateter belon. Ia mengembang apabila belon ditiup. Stent dibiarkan di sana untuk membantu mengekalkan arteri terbuka.

Seterusnya, secara umumnya, di antara perkara yang membatalkan puasa ialah masuknya sesuatu benda (‘ain) melalui rongga terbuka ke dalam jauf. Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menjelaskan, lafaz “masuknya sesuatu benda (‘ain)” telah mengeluarkan udara daripada termasuk bersamanya. Justeru, tidak membatalkan puasa dengan masuknya udara ke dalam jauf. Begitu juga dengan rasa dan bau semata-mata tanpa adanya partikel (‘ain) tidak akan membatalkan puasa jika ada yang sampai ke dalam jauf

Kemudian lafaz “rongga terbuka” pula telah mengeluarkan (yakni tidak termasuk dalam maknanya yang membatalkan puasa), jika sesuatu benda itu sampai ke dalam jauf bukan melalui rongga terbuka seperti minyak dan seumpamanya melalui serapan liang roma. Semua adalah rongga terbuka menurut mazhab Imam al-Syafi‘i kecuali mata (tidak termasuk), demikianlah juga telinga (tidak termasuk dalam rongga terbuka) di sisi Imam al-Ghazali. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 451-452).

Nawawi al-Jawi turut menyebutkan, masuknya benda (‘ain) daripada benda-benda dunia sekalipun sedikit seperti bijan atau tidak dimakan seperti batu kerikil ke dalam jauf, membatalkan puasa seseorang dengan sampainya (masuknya) benda tersebut ke dalam jauf melalui rongga yang terbuka dalam keadaan sengaja, tidak dipaksa dan mengetahui tentang keharamannya. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 187).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jika dilihat kepada cara prosedur tersebut dijalankan sebagaimana dinyatakan di atas, kami berpendapat pesakit yang sedang berpuasa yang menjalani prosedur stent angioplasti tidak batal puasanya disebabkan oleh prosedur tersebut melainkan jika sebelum prosedur tersebut, pesakit ada melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti diberi makan ubat tahan sakit (pain killer) dan seumpamanya. Sekiranya pesakit hanya berpada dengan suntikan anestesia sahaja di tempat yang hendak dimasukkan stent itu, dan tidak memakan apa-apa ubat lain, maka puasanya tidak batal. Hal ini kerana tiub fleksibel (kateter) dan tiub jaring dawai (stent) serta cecair yang dimasukkan ke dalam arteri adalah melalui lengan atau pergelangan tangan, atau di kawasan kaki atas (pangkal paha). Kesemua bahagian atau kawasan tersebut bukanlah rongga yang terbuka. Begitu juga sepanjang prosedur tersebut dijalankan, pesakit akan berada dalam keadaan jaga.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *