Penggunaan Platelet-Rich Plasma (PRP) dalam Rawatan Kosmetik

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh beri ulasan terhadap isu penggunaan Platelet-Rich Plasma (PRP) atau dikenali juga sebagai “vampire injection” yang menggunakan plasma darah dalam rawatan kecantikan? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90).

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: Tetaplah atas fitrah Allah SWT  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu, tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.”

(Surah al-Rum: 30)

Allah SWT turut berfirman:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222).

Definisi Platelet-Rich Plasma (PRP) dan Proses Rawatan Menggunakannya

Umumnya, darah kita terdiri daripada komponen darah dalam bentuk bahan cecair dan pepejal. Bahagian cecair yang dipanggil plasma diperbuat daripada air, garam dan protein. Manakala bahagian pepejal darah pula ialah sel darah yang dikenali sebagai sel darah merah, sel darah putih, dan platelet. Lebih separuh daripada darah terdiri daripada plasma.[1]

Plasma darah ialah komponen cecair kuning pucat di dalam darah yang biasanya mengekalkan sel darah di dalam seluruh darah dalam ampaian.[2] Kira-kira 55% darah terdiri daripada plasma, manakala selebihnya adalah sel darah merah, sel darah putih, dan platelet yang bercampur dalam plasma. Dipetik daripada jurnal yang diterbitkan di US National Library of Medicine, plasma terdiri daripada 91-92% air dan 8-9% pepejal dengan butiran di bawah:

  • Coagulant (bahan penggumpal), terutamanya fibrinogen, yang membantu pembekuan darah.
  • Protein plasma, seperti albumin dan globulin, yang membantu mengekalkan tekanan osmotik koloid pada kira-kira 25 mmHg.
  • Elektrolit, seperti natrium, kalium, bikarbonat, klorida, dan kalsium yang membantu mengekalkan pH darah.
  • Imunoglobulin, yang membantu melawan jangkitan dan sejumlah kecil enzim, hormon dan vitamin lain.[3]

 

Platelet-Rich Plasma (PRP) adalah suatu rawatan yang berasaskan darah manusia. Elemen-elemen di dalam darah diasingkan dengan menggunakan mesin centrifuge untuk menghasilkan lapisan plasma dan platelet asli yang digunakan dalam kaedah rawatan PRP. PRP merupakan suatu konsep yang mana jumlah autologos plasma mempunyai kepekatan platelet yang melewati garis dasar plasma darah biasa.[4]

Menurut Dr. Aidil Azry Mokhtar, rawatan Plasma Kaya Platelet (PRP) vampire (juga dikenali vampire facial) menjadi kegilaan ramai kerana dikatakan berupaya memperlahankan proses penuaan. Ia adalah teknik rawatan wajah membabitkan penggunaan darah sendiri bagi mendapatkan kulit licin dan berseri, sekali gus membantu atasi masalah tanda penuaan garis halus serta pigmentasi.

Teknik ini menggunakan mesin mengandungi sebilangan jarum halus untuk menebuk kulit muka, bertujuan menghasilkan kecederaan kecil sebelum disapu PRP yang kaya dengan vitamin atau ‘faktor pertumbuhan’. PRP vampire adalah teknik menggunakan jarum mikro pada mesin automatik yang hujungnya ada jarum-jarum halus. Wajah pelanggan perlu dikebaskan dan mesin ini digunakan di seluruh wajah untuk menebuk kulit muka bagi menghasilkan rongga mikro. Tebukan pada salur darah menyebabkan pendarahan berlaku pada muka dan kerana itu ia dipanggil PRP vampire.

Menurut Dr. Aidil Azry lagi, tujuannya adalah menghasilkan kecederaan kecil supaya memberi isyarat kepada tubuh agar merawat dan memperbaiki kawasan cedera ini. Wajah pelanggan kemudian disapu dengan PRP yang dihasilkan daripada darah pelanggan sendiri. Untuk mendapatkan PRP, darah diambil dari lengan pesakit dengan sukatan tertentu, kemudian diletakkan di dalam tabung khas sebelum dimasukkan di dalam mesin emparan selama 10 hingga 15 minit bagi memisahkan serum PRP berwarna kekuningan dan sel darah merah.

PRP ini berfungsi seperti baja dan berupaya membina sel baharu bagi menggantikan sel rosak dan membuatkan permukaan kulit lebih gebu serta anjal. Satu lagi rawatan PRP yang sedikit berbeza iaitu melalui suntikan terus ke bahagian wajah yang disasarkan. Kedua-dua teknik mempunyai kelebihan dan kekurangan.[5]

Rawatan: Antara Kecantikan dan Keperluan Perubatan

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Platelet-Rich Plasma (PRP) dianggap sebagai Najis

Sebelum menjawab soalan yang diajukan, sebagaimana yang kita ketahui, darah merah yang mengalir dihukumkan sebagai najis dan haram untuk dimakan disebabkan oleh kenajisan darah tersebut. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Syeikh al-Sa’di menyebutkan bahawa larangan memakan bangkai kerana ia adalah buruk lagi memudaratkan dan kebiasaannya juga ia mati (menjadi bangkai) disebabkan oleh penyakit. Maka, semakin bertambah lagi kemudaratannya. Syarak mengecualikan daripada keumuman larangan bangkai ini, bangkai belalang dan ikan serta haiwan laut kerana ia adalah halal lagi baik. Manakala darah yang dimaksudkan di sini ialah darah yang mengalir sebagaimana yang disebutkan dalam ayat yang lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/81).

Firman Allah SWT:

أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا

Maksudnya:Atau darah yang mengalir.”

(Surah al-An‘am: 145)

Inilah juga pendapat Ibn Abbas dan Sa‘id bin Jubair. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/8; Mughni al-Muhtaj, 1/112; Majmu‘ al-Fatawa, 21/17).

Selain itu, di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’

Riwayat al-Bukhari (227)

Selain itu, para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya. (Lihat al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Darah tersebut tidak boleh dimakan, mahupun diambil manfaat dengannya. Hal ini kerana ia mengandungi atau membawa bahan-bahan lebihan (buangan) daripada badan, termasuklah bahan-bahan yang berbahaya seperti bakteria dan mikroorganisma serta selainnya yang menyebabkan penyakit. Oleh itu, jika seseorang meminumnya, ia boleh memudaratkan dan penyakit yang dibawa oleh darah juga boleh berjangkit kepadanya.

Oleh itu, jelaslah bahawa haram untuk memakan darah yang mengalir berdasarkan kepada nas yang telah disebutkan di atas, tidak kira darah itu daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya mahupun yang haram dimakan dagingnya, atau darah manusia. Akan tetapi dikecualikan daripada hukum darah yang mengalir itu, darah yang berbaki pada urat (yang terdapat pada daging haiwan) disebabkan oleh kesukaran dan kepayahan untuk menghindarinya.[6]

Begitu juga kami berpendapat bahawa plasma darah yang diekstrak daripada darah turut dihukumkan sebagai najis sebagaimana hukum darah itu sendiri. Hal ini kerana darah yang merupakan asalnya telah dihukumkan sebagai najis berdasarkan nas yang sahih. Justeru, hukum yang sama terpakai kepada cabangnya atau apa yang berasal daripadanya. Ini berdasarkan kaedah:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

 

Hukum Platelet-Rich Plasma (PRP) dalam Rawatan Kecantikan

Berbalik kepada soalan yang diajukan, rawatan Plasma Kaya Platelet (PRP) vampire atau vampire facial ini adalah bertujuan untuk mendapatkan kulit licin dan berseri, sekali gus membantu atasi masalah tanda penuaan garis halus serta pigmentasi. Selain itu, PRP digunakan dalam rawatan kecantikan kerana rawatan ini berpotensi untuk digunakan ketika pembedahan plastik, peremajaan kulit, rambut gugur serta rawatan dalam bidang dermatologi seperti ulser kronik, ulser diabetik dan luka bakar.[7]

Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  •     Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  •     Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  •     Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhkan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Begitu juga Dr. Soleh al-Fauzan ada menetapkan tiga syarat bagi mengharuskan penggunaan suntikan kolagen pada bahagian-bahagian tubuh badan:

  •   Hendaklah kolagen tersebut diambil daripada bahan yang suci seperti lembu yang disembelih.
  •   Hendaklah doktor telah memastikan bahawa tiada mudarat pada suntikan tersebut.
  •     Hendaklah tujuan suntikan itu adalah untuk merawat keaiban yang bukan asli dan menghilangkan kehodohan, seperti membuang kedutan yang luar biasa. Adapun jika kesan rawatan itu membawa kepada penipuan atau mengubah ciptaan Allah, maka ia tidak dibolehkan, seperti membuang kedutan yang biasa muncul bagi orang yang sudah tua. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 351).

Berubat dengan bahan bernajis

Mengenai hal ini, terdapat hadith riwayat Ummu Salamah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ لَـمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu pada perkara yang telah Dia haramkan ke atas kamu.

Riwayat Ibn Hibban (1391)

Selain itu, terdapat juga hadith lain sebagaimana diriwayatkan oleh Wa’il al-Hadrami, bahawa Tariq bin Suwaid al-Ju‘fi R.A bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan arak. Kemudian, Baginda SAW melarang — atau tidak gemar untuk beliau melakukannya. —  Tariq berkata: “Sesungguhnya aku melakukannya untuk berubat.” Maka Baginda SAW bersabda:

إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ، وَلَكِنَّهُ دَاءٌ

Maksudnya:Sesungguhnya ia (arak) bukan ubat, akan tetapi merupakan suatu penyakit.

Riwayat Muslim (1984)

Imam al-Nawawi ketika mengulas berkenaan dengan isu hukum berubat dengan najis, beliau menjelaskan pandangan mazhab Syafi‘i dan majoriti ulama bahawa boleh berubat dengan najis selain daripada suatu yang memabukkan. Akan tetapi hukum keharusan itu terikat dengan ketiadaan bahan perubatan yang suci lagi halal yang harus untuk digunakan. Sekiranya terdapat bahan perubatan yang suci dan halal, maka hukum menggunakan bahan bernajis sebagai ubat adalah haram tanpa sebarang khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/50-51).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa penggunaan Platelet-Rich Plasma (PRP) atau dikenali juga sebagai “vampire injection” dalam rawatan kecantikan adalah tidak dibolehkan kerana plasma darah yang diekstrak daripada darah merah adalah najis sekalipun ia diambil daripada darah manusia atau darah haiwan yang halal dimakan dagingnya mahupun yang haram dimakan dagingnya. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan ihtiyat (berhati-hati).

Di antara syarat yang mesti dipenuhi bagi mengharuskan penggunaan sesuatu produk kecantikan dalam rawatan ialah bahan yang hendak digunakan mestilah suci dan bukan najis, di samping rawatan itu tidak memudaratkan orang yang menjalani prosedur dan tujuan suntikan itu adalah untuk merawat keaiban yang bukan asli dan menghilangkan kehodohan, seperti membuang kedutan yang luar biasa dan seumpamanya, dan bukannya membawa kepada penipuan atau mengubah ciptaan Allah.

Lebih-lebih lagi, kini terdapat alternatif rawatan lain yang boleh digunakan dalam rawatan kecantikan seperti suntikan kolagen, terapi induksi kolagen, prosedur tanam benang (Thread Lift) dan lain-lain rawatan yang diharuskan.

Sekalipun begitu, hukumnya menjadi harus jika perkara tersebut dalam kategori dharuriyyat atau hajiyyat. Ini bertepatan dengan kaedah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya:Keadaan dharurat (terdesak) boleh mengharuskan yang haram.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 85).

Akan tetapi kaedah ini terikat dengan kaedah lain yang menyebutkan:

الضَّرُورَاتُ تُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا

Maksudnya:Keadaan dharurat (terdesak) hanya diambil cukup sekadar yang perlu sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 184-186).

Bagi mengetahui hukum penggunaan plasma darah secara umumnya, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1538: Penggunaan Plasma Darah.[8]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat artikel yang ditulis oleh Fajarina Nurin dan disemak secara perubatan oleh Dr. Michael Josiah, https://hellosehat.com/kelainan-darah/plasma-darah/. Diakses pada 23 Mei 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Plasma_darah. Diakses pada 23 Mei 2023.

[3] Lihat artikel yang ditulis oleh Fajarina Nurin dan disemak secara perubatan oleh Dr. Michael Josiah, https://hellosehat.com/kelainan-darah/plasma-darah/. Diakses pada 23 Mei 2023.

[4] Lihat Penggunaan Kaedah Platelet-rich Plasma (PRP) dalam Rawatan Kecantikan Menurut Perspektif Halal Haram oleh Nurhidayah, M. S, Nur Fadhilah, dan R. Mohd Anuar, Perspektif Industri Halal: Perkembangan dan Isu-Isu 1 (2015): 1-8.

[5] Lihat https://www.hmetro.com.my/sihat/2019/11/515691/darah-rawat-wajah. Diakses pada 23 Mei 2023.

[6] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 23 Mei 2023.

[7] Lihat Penggunaan Kaedah Platelet-rich Plasma (PRP) dalam Rawatan Kecantikan Menurut Perspektif Halal Haram oleh Nurhidayah, M. S, Nur Fadhilah, dan R. Mohd Anuar, Perspektif Industri Halal: Perkembangan dan Isu-Isu 1 (2015): 1-8.

[8] Lihat https://maktabahalbakri.com/1538-penggunaan-plasma-darah/. Diakses pada 23 Mei 2023.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *