Mikropigmentasi Kulit Kepala (Scalp Micropigmentation)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai rawatan Scalp Micropigmentation (SMP) iaitu seakan tatu yang menggunakan dakwat organik dan bersifat tidak kekal. Saya ingin membuat rawatan tersebut sebab malu dihina botak pada usia muda. Saya ingin menanam rambut, tetapi kos menanam rambut terlalu tinggi. Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90).

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: “Tetaplah atas fitrah Allah SWT  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu, tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.”

(Surah al-Rum: 30)

Allah SWT turut berfirman:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222).

Definisi Scalp Micropigmentation dan Prosedurnya

Seterusnya, kami kemukakan terlebih dahulu penjelasan ringkas berkenaan mikropigmentasi kulit kepala  atau Scalp Micropigmentation (SMP) ini. Mikropigmentasi kulit kepala, juga dikenali sebagai tatu rambut, boleh menutup bahagian-bahagian botak atau kawasan rambut menipis tanpa pembedahan. Juruteknik akan menggunakan jarum nipis untuk melukis titik-titik kecil pigmen (warna) pada kulit kepala. Rawatan ini boleh menutup bahagian-bahagian botak atau membuat seolah-olah kepala kelihatan seperti dicukur.

Mikropigmentasi kulit kepala adalah rawatan kosmetik untuk merawat penipisan rambut atau keguguran rambut. Ia kadang-kadang juga dipanggil tatu rambut. Juruteknik menggunakan jarum nipis dan kecil untuk melukis titik-titik kecil dengan memasukkan pigmen (warna) pada kulit kepala. Titik-titik ini memberikan kesan rambut kelihatan lebih tebal. Pigmen mikropigmentasi kulit kepala adalah dakwat kekal gred kosmetik.

Apabila juruteknik mahir melakukan rawatan mikropigmentasi kulit kepala, ia boleh menyembunyikan kawasan rambut yang nipis di kepala anda. Ia juga mampu menyembunyikan tanda lahir atau parut. Rawatan itu juga boleh memberikan ilusi rambut dicukur atau “potongan buzz” pada orang yang botak. Mikropigmentasi kulit kepala tidak invasif dan tidak memerlukan pembedahan atau bius.

Siapakah yang sesuai untuk melakukan mikropigmentasi kulit kepala?

Mikropigmentasi kulit kepala adalah sejenis mikropigmentasi (solekan kekal). Rawatan ini boleh membuat rambut kelihatan lebih tebal pada orang yang mempunyai masalah:

  • Alopecia areata, sejenis penyakit autoimun yang menyebabkan keguguran rambut.
  • Keguguran rambut yang disebabkan kerana rawatan kemoterapi.
  • Rambut gugur dalam kalangan wanita.
  • Keadaan hormon tidak normal yang menyebabkan keguguran rambut, termasuk sindrom ovari polikistik (PCOS).
  • Kebotakan rambut yang biasa dialami oleh kaum lelaki, garis rambut yang surut atau kebotakan di ubun-ubun kepala.
  • Rambut nipis atau penipisan rambut sehingga kulit kepala kelihatan.
  • Parut atau tanda lahir pada kulit kepala.

Adakah mikropigmentasi kulit kepala membantu menumbuhkan rambut?

Mikropigmentasi kulit kepala tidak menumbuhkan rambut atau mengubah pertumbuhan rambut semula jadi anda. Ia bukan rawatan rambut gugur. Ia juga tidak akan menyebabkan keguguran rambut atau merosakkan folikel rambut anda yang sedia ada. Mikropigmentasi kulit kepala ialah cara untuk menjadikannya kelihatan seperti anda mempunyai rambut yang lebih banyak dan lebih tebal.

Apa yang berlaku sebelum mikropigmentasi kulit kepala?

Sebelum mikropigmentasi kulit kepala:

  1. Basuh rambut dan kulit kepala anda sebelum temujanji anda.
  2. Apabila anda tiba, juruteknik anda akan menandakan kawasan kulit kepala yang akan mereka lukis.
  3. Jika anda botak, anda dan juruteknik anda boleh memutuskan garis rambut yang sesuai untuk anda berdasarkan struktur muka, umur dan bentuk kepala anda.
  4. Anda dan juruteknik anda akan memilih pigmen yang sepadan dengan warna rambut anda.
  5. Juruteknik anda akan menyapu ubat kebas pada kulit kepala untuk menjadikan anda lebih selesa. Jarumnya lebih nipis dan lebih kecil daripada jarum tatu, jadi mikropigmentasi kulit kepala biasanya kurang menyakitkan daripada mendapatkan tatu.

Apa yang berlaku semasa mikropigmentasi kulit kepala?

Juruteknik anda akan menggunakan jarum untuk memasukkan pigmen gred perubatan pada kawasan kulit kepala yang dikehendaki. Titik-titik yang terhasil berbeza dari segi saiz, sudut dan kedalaman untuk memberikan kesan penampilan semula jadi seperti rambut.

Rawatan anda mungkin mengambil masa sehingga lima jam, bergantung pada saiz kawasan rawatan. Kebanyakan orang memerlukan tiga atau lebih rawatan, dengan jarak beberapa minggu setiap rawatan. Setiap rawatan menambah lebih banyak pigmen untuk menghasilkan kesan kelihatan seperti rambut tebal.

Apa yang berlaku selepas mikropigmentasi kulit kepala?

Oleh kerana tiada pembedahan atau bius, anda boleh kembali ke kehidupan seharian dengan cepat. Terdapat sedikit kesan sampingan mikropigmentasi kulit kepala. Anda mungkin mengalami sedikit kemerahan pada kulit kepala anda selama beberapa jam. Anda boleh memakai topi atau selendang untuk menutup kulit kepala jika anda mahu.

Risiko dan Faedah (Kelebihan) Rawatan Mikropigmentasi Kulit Kepala

Faedah mikropigmentasi kulit kepala berbanding pembedahan pemindahan rambut termasuk:

  • Kurang invasif (tiada pembedahan atau luka).
  • Kurang sakit.
  • Kos yang lebih rendah.
  • Tiada masa yang diperlukan untuk pulih.

Manakala risiko atau komplikasi terbesar prosedur mikropigmentasi kulit kepala ini adalah jika melakukan rawatan daripada juruteknik yang tidak berlesen atau tidak berpengalaman yang mungkin tidak mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan. Risiko yang mungkin termasuk:

  • Reaksi alergi terhadap pigmen kosmetik.
  • Jangkitan daripada jarum yang tidak disterilkan.
  • Kesan warna pigmen yang pelik atau bukan seperti yang diingini selepas rawatan.

Untuk mengelakkan risiko ini:

  • Pilih juruteknik mikropigmentasi kulit kepala berlesen.
  • Minta untuk melihat foto sebelum dan selepas rawatan mikropigmentasi kulit kepala hasil kerja mereka.
  • Jika anda mempunyai alahan, bincangkannya dengan juruteknik anda sebelum prosedur.

Adakah terdapat sesiapa yang tidak sepatutnya mendapatkan rawatan mikropigmentasi kulit kepala?

Orang yang terdedah kepada keloid (parut lebih besar daripada biasa) tidak sepatutnya mendapat mikropigmentasi kulit kepala. Rawatan ini boleh menyebabkan keloid terbentuk pada sesetengah orang.

Berapa lama kesan mikropigmentasi kulit kepala bertahan?

Kesan mikropigmentasi kulit kepala biasanya akan kekal penampilannya selama empat tahun atau lebih lama. Pigmen yang digunakan dalam mikropigmentasi kulit kepala adalah pigmen kosmetik kekal. Mereka tidak sama dengan dakwat tatu, jadi mereka tahan daripada pudar atau perubahan warna.[1]

Rawatan: Antara Kecantikan dan Keperluan Perubatan

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Hukum Rawatan Mikropigmentasi Kulit Kepala

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, secara umumnya rawatan mikropigmentasi kulit kepala ini adalah rawatan kosmetik untuk merawat penipisan rambut atau keguguran rambut. Mikropigmentasi kulit kepala tidak menumbuhkan rambut atau mengubah pertumbuhan rambut semula jadi. Ia juga bukan rawatan rambut gugur dan tidak akan menyebabkan keguguran rambut atau merosakkan folikel rambut yang sedia ada. Akan tetapi ia adalah cara untuk menjadikan kulit kepala kelihatan seperti mempunyai rambut yang lebih banyak dan lebih tebal.

Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  • Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  • Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  • Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Begitu juga Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali dalam persidangan mereka yang ke-18, di Putrajaya, Malaysia, dari 24-29 Jamadil Akhir 1428 Hijrah, bersamaan dengan 9-14 Julai 2007 khususnya berkaitan tajuk: “Al-Jirahah al-Tajmiliyyah wa Ahkamuha (Pembedahan Kosmetik dan hukum-hukumnya).” Di antara keputusan tersebut adalah tidak boleh melakukan pembedahan kosmetik yang tidak termasuk dalam rawatan perubatan dan bertujuan untuk mengubah kejadian yang asal (normal) kerana menurut hawa nafsu dan keinginan meniru orang lain seperti pembedahan mengubah bentuk muka supaya kelihatan dengan penampilan tertentu, atau bertujuan menipu dan menyelewengkan keadilan, mengubah bentuk hidung, membesarkan atau mengecilkan bibir, mengubah bentuk mata dan membesarkan tulang pipi.[2]

Selain itu, Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research Ruling) pernah ditanya berkenaan hukum Scalp Micropigmentation (SMP), adakah ia dibolehkan dalam Islam? SMP merujuk kepada kaedah memasukkan pigmen ke dalam lapisan dermal kulit di kulit kepala, yang meniru folikel rambut. Apabila dilihat dari beberapa inci atau lebih jauh, titik pigmen tersebut kelihatan seperti folikel rambut. Berikut adalah beberapa fakta yang diberikan oleh beberapa klinik SMP yang ditanyakan (dinyatakan oleh penyoal):

  • SMP tidak memberi kesan kepada kulit dari segi menyerap air (contohnya, untuk berwuduk) atau mengeluarkan air sebagai peluh.
  • Pigmen terdiri daripada Iron Oxide, yang menurut klinik-klinik tersebut adalah terdapat secara semula jadi dalam tubuh.
  • Perbezaan utama antara tatu dan SMP adalah SMP bersifat separa kekal dan menggunakan pigmen yang sepenuhnya semulajadi. Ia menggunakan pigmen khas yang dicipta hanya untuk kulit kepala, bukan dakwat tatu.

Sentuhan semula biasanya dilakukan 1-2 kali setahun kerana ia tidak kekal.

Mereka menjawab dengan menyebutkan, tidak mengapa jika dia melakukan rawatan itu kerana perkara tersebut dianggap sebagai rawatan bagi penyakit. Terutamanya jika rawatan tersebut bersifat sementara. Ia ada disebutkan dalam hadith yang dihimpunkan oleh Imam Abu Daud dalam kitabnya mengenai Arfaja bin Sa‘ad yang hidungnya cedera semasa pertempuran Kilab pada zaman Jahiliyyah. Beliau menggunakan pendakap perak bagi membaiki hidungnya dan masih menghadapi masalah, maka Nabi SAW memerintahkan agar beliau menggunakan emas sebagai gantinya.

Botak adalah seperti mana-mana penyakit lain. Justeru, dibenarkan bagi anda untuk menggunakan apa-apa rawatan bagi menyembuhkannya sama ada melalui pewarnaan atau penanaman rambut. Ini serupa dengan merawat luka bakar dengan rawatan yang dibolehkan.[3]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa rawatan mikropigmentasi kulit kepala atau Scalp Micropigmentation (SMP) adalah diharuskan sekiranya ada keperluan bagi melakukannya seperti untuk menghilangkan aib bagi mereka yang menghadapi penyakit botak. Hal ini adalah sebagaimana difahami menerusi nas  yang sahih sebagaimana yang kami telah nyatakan di atas.

Sekalipun begitu, ia juga terikat dengan syarat prosedur tersebut tidak memberikan mudarat kepada penerima rawatan tersebut dan bahan-bahan yang hendak digunakan itu diambil daripada bahan yang suci dan bukannya najis.

Adapun jika prosedur ini dilakukan untuk kecantikan tambahan semata-mata (tahsiniyyah), bukan untuk menutup keaiban akibat penyakit botak, maka ia adalah dilarang dan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri ia termasuk dalam pengubahan yang diharamkan. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati (ihtiyat).

Walau bagaimanapun, kami turut menasihatkan agar seseorang yang ingin mendapatkan rawatan melalui ini, sebaiknya rujuklah terlebih dahulu pakar bagi membuat pemeriksaan dan mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum melakukannya — yakni sama ada rawatan itu sesuai ataupun tidak buat mereka — bagi mengelakkan sebarang komplikasi-komplikasi yang tidak diinginkan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://my.clevelandclinic.org/health/treatments/22719-scalp-micropigmentation. Diakses pada 24 Ogos 2023.

[2] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/2283.html. Diakses pada 13 April 2023.

[3] Lihat http://fatwacommitteeuk.com/category/syria. Diakses pada 24 Ogos 2023.

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *