PUTRAJAYA: Kerajaan digesa mempersiapkan segera negara dalam berdepan sebarang episod krisis kesihatan pada masa akan datang.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu penting bagi mengelak kerajaan berada dalam keadaan kelam kabut jika berdepan situasi sama seperti pandemik Covid-19 sebelum ini. Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkaitan perlu segera memperkasakan konsep keseluruhan kerajaan dan rakyat sebagai persiapan kepada seluruh tenaga kerja kesihatan, barisan hadapan dan rakyat. “Sekarang ini Covid-19 sudah berlalu sekitar tiga ke empat tahun lalu dan mungkin orang sudah lupa pasal Covid-19 ini.
Tapi kalau kita lupa, sejarah akan berulang lagi. “Jangan kalau ada pandemik baharu kita nak kelam kabut. Sepatutnya kita kena sediakan payung sebelum hujan (persiapan). “Kita kena perkasakan sekarang dan bukannya semasa kecemasan baru kita nak panggil mesyuarat. konsep ini perlu diketengahkan dengan kerjasama kementerian-kementerian lain,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis pelancaran Rufayda Academy, anak syarikat Andora Healthcare Bhd di sini, semalam.
Katanya, tugas memerangi pandemik bukan hanya tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja sebaliknya ia membabitkan pelbagai kementerian lain. Dr Noor Hisham berkata, negara banyak belajar dari pandemik Covid-19 namun, persoalannya adakah tindakan sedia ada cukup siap siaga untuk melawan penyakit berjangkit pada masa akan datang. “Masalahnya bukan dia (pandemik) takkan datang tapi dia akan datang tapi kita tidak tahu bila.
Justeru, kita perlu pastikan siap siaga dari sudut sistem kesihatan negara bagi menangani penyakit berjangkit ini,” katanya. Pendekatan ‘whole-of government’ dan ‘whole-of-society’ merujuk kepada usaha mengoptimumkan seluruh tenaga kerja kesihatan dan peranan barisan hadapan serta peranan seluruh rakyat untuk turut membantu memutuskan rantaian pandemik. – UTUSAN