Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya telah berjaya mengandung dengan kaedah self home insemination kerana saya ada vaginismus. Kaedah seperti IUI cuma dilakukan sendiri di rumah dengan menggunakan picagari. Untuk mempermudah proses, suami saya telah mengeluarkan air mani dengan jari sendiri. Saya baru dapat tahu onani guna jari sendiri adalah haram. Tetapi niat kami adalah untuk mendapatkan zuriat dan alhamdulillah berjaya mengandung. Kini usia kandungan saya sudah mencecah 7 bulan. Apakah status anak saya? Apakah yang perlu kami buat? Perlukah kami bertaubat? Saya benar-benar ingin tahu status kami dan kami cuma ingin jadi Muslim yang mengikut syariat Ilahi. Harap Dato’ Seri dapat jawab persoalan saya ini. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Permanian Kendiri (Self-Insemination)
Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu “self-Insemination” yang dimaksudkan ini. Menurut Dr. Michael Werner,[1] permanian kendiri (Self-Insemination) ialah satu proses di mana seorang lelaki akan pancut ke dalam cawan steril di rumah, mengeluarkan sampel ke dalam picagari, dan kemudian memasukkan sampel itu ke dalam faraj pasangannya. Sampel akan berketul-ketul dan melekit pada mulanya, tetapi selepas kira-kira 20 hingga 30 minit, kadang-kadang lebih lama, enzim dalam ejakulasi akan memecahkan sampel sehingga ia menjadi lebih cair. Sebaik-baiknya, sampel hendaklah disimpan pada suhu badan semasa enzim berfungsi, yang boleh dicapai dengan mudah dengan memegang cawan steril di tangan anda.
Sebaik sahaja sampel disediakan dengan picagari, mana-mana pasangan boleh memasukkannya ke dalam faraj, hampir seperti tampon.[2] Sekiranya boleh, wanita itu perlu berbaring selama 10-15 minit untuk meningkatkan peluang untuk hamil. Permanian kendiri adalah pilihan yang bagus untuk kebanyakan pasangan kerana sampel diletakkan terus ke dalam faraj tanpa memerlukan sebarang campur tangan perubatan sama sekali.[3]
Onani (istimna’)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, oleh sebab ia berkait rapat dengan perbuatan mengeluarkan air mani dengan tangan atau lebih dikenali juga sebagai onani atau masturbasi, maka kita akan mulakan perbahasan secara ringkas berkenaan hukumnya terlebih dahulu.
Di dalam hukum Syarak, mengeluarkan sperma bagi lelaki dan ovum bagi perempuan atau perbuatan mengeluarkan air mani adalah sama maksudnya dengan istilah istimna’ (الاسْتِمْنَاء) dalam bahasa Arab yang berasal dari kata terbitan istamna (اسْتَمْنَى) yang bererti usaha mengeluarkan air mani. (Lihat Lisan al-‘Arab, 15/293).
Dari sudut istilah, ia memberi maksud mengeluarkan air mani tanpa melalui proses bersetubuh, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri. Adapun istimna’ pula adalah keinginan (permintaan) untuk mengeluarkan air mani dalam keadaan sedar dengan apa cara sekalipun, dan ia berlaku dalam kalangan lelaki dan juga wanita. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97-98).
Secara umumnya, mengeluarkan air mani (sperma dan ovum) dengan sengaja adalah dilarang dan ditegah dalam Islam. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَـٰفِظُونَ ٥ إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ٦ فَمَنِ ٱبْتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْعَادُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-Mukminun: 5-7)
Imam al-Syafi‘i menyatakan, ayat di atas jelas menerangkan agar setiap orang Mukmin menjaga kemaluan mereka kecuali pada isteri-isteri mereka dan juga kepada hamba perempuan yang dimiliki serta pengharaman bagi selain daripada keduanya. Ayat ini juga menjadi dalil kepada halalnya pernikahan dan halalnya perbuatan talazzuz (bersedap-sedapan) dan sebagainya pada faraj isteri dan hamba perempuan yang dimiliki selain ia menjelaskan bahawa perbuatan istimna‘ (onani) tidak termasuk dalam perkara yang dihalalkan baginya. (Lihat al-Umm, 5/155).
Seterusnya, turut dinyatakan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (16/421) bahawa hukum mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah haram, dan ramai daripada kalangan ulama yang berpegang dengannya. Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata: “Mengahwini hamba perempuan adalah lebih baik darinya (mengeluarkan mani dengan sengaja).” Mereka kesemuanya berpegang pada dalil yang sama iaitu pada surah al-Mukminun ayat 5-7. Perkara ini juga turut diakui oleh pakar-pakar fisiologi dan juga doktor-doktor perubatan bahawa perbuatan mengeluarkan air mani dengan sengaja boleh membawa kepada pembunuhan keinginan seksual dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu tidak dapat mengeluarkannya (air mani) ketika persetubuhan melainkan dengan cara mengeluarkannya sendiri dengan menggunakan tangan seterusnya mengabaikan tanggungjawabnya dan tugasnya sebagai seorang suami. Perbuatan ini juga membunuh fungsi alatnya (kemaluan) atau mengurangkan kebersamaan suami isteri. Maka, kesemua kerosakan dan juga keburukan ini amatlah dilarang daripada berlaku ke atas diri manusia.
Namun, di sebalik pengharaman perbuatan ini, ia dibolehkan dengan sebab-sebab tertentu iaitu:
Pertama: Imam al-Nawawi menukilkan dari Imam al-Mutawalli dan Imam al-Ruyani bahawa kedua-duanya menyebut dibolehkan istimna‘ (onani) dengan menggunakan tangan isteri atau hamba perempuan yang dimilikinya sepertimana berseronok dengan seluruh tubuh badannya (isteri). (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/206).
Kedua: Dibolehkan untuk menahan syahwat yang bergelora dalam diri seseorang yang boleh menyebabkannya melakukan zina. Contohnya, seorang lelaki yang ingin bersetubuh dengan isterinya, namun tidak boleh disebabkan haid, maka dibolehkan untuk istimna‘ (onani) dengan menggunakan tangannya sendiri bagi mengelakkan dan menjauhkan dirinya daripada melakukan perbuatan zina. Ini kerana mengambil (melakukan) mafsadah (kerosakan) yang ringan bagi menghalang daripada mafsadah yang berat di antara keduanya. Bahkan diwajibkan pula. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj oleh al-Haitami, 1/389; Hasyiah al-Syabramalisi dalam Nihayah al-Muhtaj, 1/331).
Selain itu, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, hukum onani dengan menggunakan tangan adalah haram di sisi jumhur ulama dan ia merupakan pandangan yang tepat di antara dua pandangan di sisi mazhab Imam Ahmad. Di samping itu juga, perlu ditakzir bagi orang yang melakukannya. Pada pandangan yang lain, hukumnya adalah makruh dan bukannya haram. Kebanyakan daripada mereka tidak membenarkannya kerana bimbang daripada perbuatan zina dan selain daripadanya. Dinukilkan daripada sekumpulan daripada sahabat dan tabi’in bahawa mereka memberi kelonggaran padanya sekiranya terdapat darurat seperti bimbang terjatuh dalam perbuatan zina dan tidak akan terselamat dia melainkan dengannya (beronani). Begitu juga, sekiranya tidak melakukannya akan sakit. Ini merupakan satu pendapat Imam Ahmad dan selain daripadanya. Adapun jika ia dilakukan tanpa ada darurat, maka aku tidak mengetahui seorang pun yang memberi kelonggaran padanya. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 3/439).
Di samping itu, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah bin Baz (Bekas Mufti Besar Kerajaan Arab Saudi) juga ada menyebutkan, hukum onani adalah haram berdasarkan kepada dalil umum (iaitu surah al-Mu’minun, ayat 5-6) disebabkan padanya terdapat banyak mudarat. Ini kerana, ahli perubatan boleh mengeluarkan mani tersebut daripada telurnya dengan cara suntikan. Hal ini merupakan satu keluasan baginya berbanding dengan melakukan onani. Sekiranya pengeluaran mani tersebut tidak boleh dilakukan melainkan dengan cara beronani mengikut kepada keputusan daripada doktor yang pakar dan cara itu membantu dalam proses rawatan, maka ia dibolehkan untuk mengeluarkannya dengan cara beronani. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 22/57).
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa jumhur ulama berpendapat hukum asal onani atau mengeluarkan air mani dengan sengaja bukan melalui jimak yang sah adalah haram. Hukum ini terpakai ke atas lelaki dan wanita. Sebahagian ulama mengharuskannya jika tidak melakukannya akan membawa kepada fitnah seumpama zina yang lebih besar dosa dan mafsadahnya. Terdapat juga pengecualian lain seperti mengeluarkan air mani menggunakan tangan isteri atau hamba perempuan.
Maka, di sini dapat difahami dan disimpulkan bahawa pengharamannya tidak bersifat mutlak, sebaliknya tertakluk kepada pengecualian dalam keadaan-keadaan tertentu yang melibatkan pertimbangan maslahat seperti darurat dan hajat (keperluan). Antaranya ialah faktor hifz al-nasal. Tujuan menjaga keturunan merupakan salah satu daripada dharuriyyat al-khams yang diterima dan muktabar dalam hukum Syarak. Justeru, salah satu daripada wasilah untuk mencapai hifz al-nasal adalah melalui perkahwinan. Seseorang itu adalah diharamkan untuk mengkasi dirinya atau memandulkan dirinya kerana itu merupakan pengubahan terhadap ciptaan Allah. Begitu juga diharuskan bagi orang yang mandul untuk berdoa kepada Allah agar dikurniakan zuriat seperti yang berlaku dalam kes Nabi Zakariyya.
Sekalipun begitu, apabila seseorang diuji dengan ketidaksuburan dan kemandulan maka wajib dia pasrah terhadap takdir tanpa menafikan ikhtiarnya untuk merawat kemandulan itu dan ikhtiar itu juga diiktiraf di sisi hukum Syarak. Hari ini, para ulama memutuskan bahawa kaharusan menggunakan rawatan IVF bagi pasangan yang sudah berkahwin sebagai ikhtiar mendapatkan anak. Dapat difahami juga bahawa usaha mendapatkan zuriat ialah hak setiap individu.
Demikianlah juga hukum asal bagi istimna‘ (onani) adalah haram, namun dalam beberapa keadaan ia adalah diharuskan, berdasarkan maslahat sama ada pada peringkat darurat (keperluan mendesak) atau hajat (keperluan). Kaedah fiqh menyebutkan:
الضَّرُورَات تُبِيحُ المحْظُورَات
Maksudnya: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti , hlm. 84).
Sebagai contoh, seseorang itu dibolehkan beronani apabila syahwat begitu kuat dan ditakuti akan terjebak ke dalam kancah zina. Sedangkan zina diharamkan oleh hukum Syarak bagi menolak mafsadah pada peringkat darurat iaitu hifz al-nasal.
Kaedah fiqh yang lain menyatakan:
الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً
Maksudnya: “Hajat (keperluan) mengambil tempat darurat, sama ada hajat umum atau khusus.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 88).
Sebagai contoh, seseorang lelaki diharamkan melihat kepada perempuan ajnabi. Namun dalam kes merisik dan bertunang, diharuskan untuk melihat kepada perempuan ajnabi yang dipinang bagi memastikan faktor fizikal tidak menjadi suatu mudarat selepas berkahwin.
Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyatakan:
إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
Maksudnya: “Sekiranya bercanggah dua kemudaratan, mudarat yang lebih besar hendaklah dihindari dengan mengambil yang lebih ringan di antara dua kemudaratan itu.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 87).
Contohnya, melihat alat sulit ketika bersalin, ialah suatu yang diharamkan tetapi jika tidak melakukannya akan mengakibatkan kemudaratan yang lebih besar seperti komplikasi ketika melahirkan anak. Maka ia diharuskan apabila ada suatu keperluan mendesak.
Sekalipun begitu, keharusan mengambil darurat itu hendaklah diambil sekadarnya sahaja dan tidak boleh lebih daripada kadarnya yang diperlukan Ini adalah sebagaimana kaedah fiqh yang menyatakan:
الضَّرُورَةُ تُقَدَّر بِقَدَرِهَا
Maksudnya: “Darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84).
Contohnya jika dibenarkan kepada bidan atau doktor untuk melihat alat sulit wanita yang bersalin, tidak dibolehkan untuk melihat bahagian aurat yang tidak berkait dengan proses bersalin.
Hukum Nasab Anak yang Dilahirkan daripada Masturbasi/Onani
Di dalam hukum Syarak, status nasab anak memiliki nilai yang penting dalam kehidupan seorang manusia. Menjadi tanggungjawab lelaki dan wanita yang mukallaf di dalam Islam untuk memastikan keturunan yang mereka lahirkan mesti daripada perhubungan yang sah. Ini berdasarkan firman Allah ‘Azza wa Jalla:
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا
Maksudnya: “Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).”
(Surah al-Furqan: 54)
Kesimpulannya
Justeru, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami katakan bahawa sekiranya air mani suami dikeluarkan sama ada secara haram seperti ia dikeluarkan dengan tangan suami itu sendiri dengan cara onani, ataupun secara halal melalui tangan isterinya, kemudian ia dimasukkan ke dalam rahim isteri melalui picagari dan seumpamanya, maka hal itu tidak menjejaskan nasab anak tersebut dengan syarat air mani itu adalah daripada air mani suami dan air mani itu mestilah air mani yang keluar setelah berlakunya akad nikah yang sah. Dalam erti kata lain, anak itu adalah anak yang sah dan sabit nasabnya.
Manakala berkenaan onani dengan tangan sendiri dalam keadaan tidak mengetahui akan pengharamannya, kami katakan bahawa Allah memaafkan hambanya yang melakukan kesilapan, lupa dan dipaksa. Firman Allah SWT:
عَفَا اللَّـهُ عَمَّا سَلَفَ
Maksudnya: “Allah maafkan apa yang telah lalu.”
(Surah al-Ma’idah: 95)
Ibn Kathir menyebutkan, Allah memaafkan apa yang telah lalu pada masa Jahiliyah bagi orang yang berbuat baik dalam Islam, mengikuti Syariat Allah, serta tidak melakukan perbuatan maksiat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/661).
Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”
Begitu juga lafaz yang hampir dengannya:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”
Riwayat Ibn Majah (2045); Ibn Hibban (7219)
Ibn Rajab al-Hanbali ketika mensyarahkan hadith ini bahawa — yang paling jelas menurut beliau — seseorang yang terlupa atau tersilap itu adalah dimaafkan. Dalam erti kata lain, terangkat dosa daripada kedua-duanya kerana suatu dosa itu dikenakan berdasarkan tujuan dan niat. Sedangkan orang yang terlupa dan tersilap, keduanya tidak ada niat ketika melakukannya, maka tiada dosa dikenakan kepada mereka. Adapun terangkat hukum daripada keduanya, maka ini bukanlah kehendak yang dimaksudkan daripada nas ini. Oleh itu, bagi mensabitkan dan menafikannya memerlukan kepada dalil yang lain. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/369).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota hujung:
[1] Dr. Michael A. Werner ialah ahli urologi yang diperakui oleh lembaga pakar dalam bidang ketidaksuburan lelaki dan pembedahan, serta disfungsi seksual lelaki. Beliau ialah pengasas dan Pengarah Perubatan Maze, sebuah praktis perubatan di New York yang pakar dalam kesihatan seksual dan reproduktif. Dr. Werner memberi syarahan dan menulis secara meluas mengenai subjek ketidaksuburan lelaki dan disfungsi seksual dalam jurnal-jurnal dan buku-buku perubatan.
[2] Tampon ialah penyumbat daripada kain tiras, kapas, dan lain-lain yang dibubuh pada luka atau ke dalam rongga badan untuk menahan darah, menyerap kumuhan, dan lain-lain. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tampon#1. Diakses pada 29 Mei 2024).
[3] Lihat https://www.mazelabs.com/2024/04/03/self-insemination-a-natural-pregnancy-hack/. Diakses pada 29 Mei 2024.
MasyaAllah. Jelas sekali huraian bagi isu seperti ini. Semoga banyak lagi penyelesaian sebegini bagi setiap isu atau masalah yang diketengahkan