Guna Intrajugular Chatheter Ketika Berpuasa

Soalan: 

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya jururawat di sebuat pusat dialysis swasta. Saya nak tanya batal ke puasa seseorang pesakit jika seorang jururawat memberi ubat antibiotik di intrajugular chatheter. Adakah batal puasa pesakit tersebut?

Ubat tersebut diberi melalui tiub merah dan biru.

The Pristine™ Long-Term Hemodialysis Catheter: Physicians' Perspectives - Endovascular Today

https://core4-cms.imgix.net/issue-2017/1121_FT1_Fig2.png

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami kemukakan terlebih dahulu:

Para ulama’ Syafi’iyyah mempunyai tiga pendapat dalam pengunaan jarum suntikan (al-ibrah) ketika berpuasa Mereka bersepakat hukumnya harus sekiranya darurat. Tetapi mereka berbeza pendapat pada batal ataupun tidak puasa: 

  • Penggunaan jarum suntikan membatalkan puasa secara mutlak kerana ianya menyampaikan ‘ain kepada jauf. 
  • Penggunaan jarum suntikan tidak membatalkan puasa secara mutlak kerana ianya tidak melalui saluran yang terbuka. 
  • Penggunaan jarum suntikan sekiranya memberi khasiat, maka batal puasa. Sekiranya tidak, tetapi ia dalam urat-urat yang berongga, batal puasa. Manakala jika ia dalam otot, iaitu urat yang tidak berongga, tidak batal puasa. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 452)

Kami terangkan terlebih dahulu maksud antibiotik:

Menurut laman web MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Antibiotik tidak berkesan terhadap jangkitan virus seperti demam biasa, selesema dan bronkitis akut iaitu sejenis keradangan atau kerengsaan pada saluran pernafasan (tiub bronkiul) di dalam paru-paru. (Lihat http://www.myhealth.gov.my/amalan-terbaik-untuk-antibiotik/)

Berdasarkan nas yang kami nyatakan, kami berpendapat ia tidaklah batal kerana suntikan bukan melalui rongga yang terbuka dan keduanya, ia bukan bersifat makanan atau memberi khasiat, tetapi sebaliknya ubat-ubatan. 

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dengan sebaiknya. Amin.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *