Pengeluaran Air Mani Sebagai Sampel untuk Pembelajaran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Soalan saya, saya ada terbaca cerita yang mana semasa seseorang tengah ambil course medic, terdapat keperluan untuk membawa sampel air mani sendiri. Jadi adakah dibolehkan untuk mengeluarkan air mani sendiri bagi tujuan pembelajaran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, ia kembali kepada tujuan dan matlamatnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى

Maksudnya:Sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Berdasarkan hadis ini juga, ulama’ mengeluarkan satu kaedah fiqhiyyah yang utama:

الْأُمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 30) 

Dapat difahami melalui hadis dan kaedah di atas bahawa setiap tindakan yang diambil oleh seseorang itu berbalik semula hukumnya kepada niat asalnya. Niat dan tujuan perbuatan seseorang itu akan menunjukkan kepada hukum syariat sama ada halal atau haram perbuatannya. Sekiranya sesuatu perbuatan itu bertujuan kepada kebaikan maka halal perbuatannya itu.

Justeru, jika semata-mata untuk pembelajaran, maka tidak mengapa. Namun, jika untuk suka-suka, maka ia tidak dibolehkan.

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya: “(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5 – 7)

Imam al-Syafi‘i ketika mengulas ayat di atas menyebutkan, tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Begitu juga tidak halal perbuatan istimna’ — yakni mengeluarkan air mani. (Lihat al-Umm, 5/102)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata, sifat orang yang beriman yang mendapat kejayaan mewarisi Syurga Firdaus dan kekal di dalamnya adalah mereka yang memelihara kemaluan daripada liwat, zina dan selainnya. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/759-760)

Kami syorkan berkenaan dengan air mani perlulah benar-benar dipelihara agar tidak bermudah-mudahan kerana ia boleh mengundang pelbagai perkara. Terlalu banyak kemungkinan yang mungkin boleh berlaku, seperti penjualan, penyalahgunaan serta hal-hal yang membabitkan benih manusia. 

Rasulullah SAW ketika menyebut tentang mani telah mengingatkan kita:

تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ

Maksudnya: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu.”

Riwayat Ibn Majah (1968), al-Hakim (2687) dan al-Baihaqi (14130). Hadith ini dinilai sebagai hasan dalam Sahih Ibn Majah.

Mafhum daripada hadith di atas amatlah wajar diberi perhatian dengan sungguh-sungguh agar ia benar-benar mengikut lunas dan neraca syariah. Kami amat menghormati pembelajaran terutamanya bidang kedoktoran dan perubatan, tetapi yang kami khuatirkan ke mana kesudahan mani tersebut?

InsyaAllah satu masa nanti kami bincangkan khusus berkenaan dengan isu yang terkait dengan air mani. 

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT semoga diberi taufik dan hidayah serta diberi petunjuk. Amin.

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *